Monday, March 4, 2013
di saat gugurnya wira negara...
Begitu terkesan dengan apa yang berlaku di sekeliling terutama di laman maya selepas berlakunya tragedi pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Sebagai cucu bekas polis, lebih menyedihkan apabila ada yang menganggap wira negara yang terkorban hanya sekadar mati katak ketika mempertahankan negara. Itu belum dicampur dengan kenyataan-kenyataan berbaur politik yang dikeluarkan pihak-pihak berkepentingan. Manusia jenis apakah mereka ini? Tiada belas dan rasa kasihan langsung. Jika bukan simpati kepada yang sudah pergi, simpatilah kepada anak, isteri dan keluarga yang mereka tinggalkan; yang masih bernyawa dan mempunyai rasa bagi meneruskan kehidupan ini.
Teringat kisah-kisah yang pernah arwah Atuk ceritakan berkali-kali kepada anak-anak dan cucu-cucunya ketika hayatnya masih ada. Pernah bertugas pada zaman darurat, tragedi berdarah 13 Mei, sebelum serta selepas negara mencapai kemerdekaan, banyak pengalaman sebagai anggota pasukan keselamatan itu yang dilaluinya. Ada yang pedih, ada yang sedih, ada yang menyakitkan tetapi jarang sekali yang menggembirakan.
Arwah Atuk kehilangan ayahnya ketika masih remaja. Berdasarkan khabar yang arwah Atuk terima ketika itu mengatakan ayahnya meninggal dunia selepas diseksa tentera Jepun yang menjajah tanah air pada masa itu. Jika tidak silap, ayahnya dipaksa menelan air sabun sehingga tidak lagi bernyawa. Mungkin juga terkesan dengan peristiwa itu, arwah Atuk tekad menjadikan polis sebagai kerjaya.
Mungkin ada yang lupa, polis mahupun tentera tertakluk kepada menjaga ketenteraman awam serta keselamatan negara tanpa mengira parti politik mana yang menerajui kerajaan. Mereka pihak yang neutral dan sewajarnya dituntut tidak menyebelahi mana-mana pihak ketika bertugas kerana yang diutamakan adalah menjaga keselamatan negara tanpa mengira siapa yang terancam atau diancam.
Disebabkan itu, mereka yang mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab ketika tragedi pencerobohan ini sepatutnya berfikir sebelum berkata-kata, melihat sesuatu perkara dalam konteks lebih luas dan tidak hanya mengikut emosi dalam perbuatan mereka.
Apa pun, semoga roh wira-wira negara yang terkorban dalam tragedi pencerobohan Lahad Datu dan kawasan sekitarnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT. al-Fatihah... Semoga Allah SWT memberi ketabahan yang tinggi kepada ahli keluarga yang mereka tinggalkan.
Anggota keselamatan yang masih bertugas pula didoakan sentiasa dilindungi Allah SWT walau di mana jua mereka berada. Semoga dipermudahkan untuk menemui jalan penyelesaian terhadap perkara ini. Insyaa Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
ni lah bila ramai keyboard worrior...terlalu emosi & taksub dgn ideologi masing2 sampai hilang rasa simpati apatah lagi empathy....al fatihah to our fallen heroes
Semoga pemergian mereka mendapat syahid di sisi Tuhan. Amin!!
Post a Comment