Friday, August 11, 2017

Susahku Yang Tak Sesusah Dia


Beberapa hari lalu, sambil melayani pertanyaan pelanggan dan cuba menenangkan seorang sahabat yang sedang dilanda masalah hutang arwah bapanya menerusi Whatsapp; dengan pada masa sama sibuk berkira-kira di belakang minda tentang wang simpanan kecemasan yang perlu dikeluarkan untuk melunaskan komitmen bulanan, kedai kami didatangi seorang wanita India.

Dia datang untuk memohon pertolongan. Bukan sesuatu yang pelik kerana kedai kami hampir setiap minggu ada saja pihak atau peminta sedekah yang datang menyinggah. Namun, entah kenapa wanita India ini datang tepat pada saatnya di mana aku sedang kerisauan berfikir-fikir tentang apa lagi kerja yang boleh aku lakukan untuk mendapatkan duit sara hidup bulanan.

Masuk saja ke dalam kedai kami, dia terus bertanya sama ada kami mempunyai kerja kosong. Aku yang melayaninya, dengan berat hati meminta maaf dan menjawab tiada. Dia merayu jika ada kerja mencuci atau mengemas atau apa saja yang boleh dia lakukan asalkan dibayar upah setimpal. Malangnya sekali lagi aku menjawab tiada.

Dengan wajah penuh gundah, dia meluahkan rasa kecewa dan hampir putus asa untuk mencari kerja yang sesuai. Katanya, dia sudah malu untuk meminta bantuan kewangan dan kerja kosong. Semua ini terpaksa dilakukannya demi 4 anaknya yang berumur antara 8 hingga 15 tahun. Suaminya baru beberapa bulan meninggal dunia akibat sakit jantung.

Sudah banyak tempat dia mencari kerja kosong dan kepalanya pun selalu pening memikirkan bagaimana untuk memberi anaknya makan setiap hari. Sambil memohon maaf dan merayu supaya aku tidak memarahinya, dia meminta supaya maklumkan kepadanya jika ternampak mana-mana jawatan kosong yang sesuai.

Aku cepat-cepat meminta nombor telefon bimbitnya. Tetapi dengan muka sedih, dia menjawab "telefon pun saya tak ada sebab tidak mampu." Oh..aku terdiam. Riak sedih itu berpindah pula ke wajahku. Namun, sudahnya dia berjanji akan datang semula minggu depan jika masih belum berjaya mendapat kerja.

Sebelum beredar, sekali lagi dia melahirkan kesusahan hatinya memikirkan tentang anak-anak yang perlu disuap makan. Kami yang dari tadi memang sudah berniat membantu terus menghulurkan sejumlah wang yang mungkin boleh sedikit sebanyak meringankan beban dihadapinya untuk sementara.

Raut wajahnya nampak sedikit lega. Dia berjanji akan membayar balik bila sudah mendapat gaji.

Benarlah, kadang-kadang apabila kita rasa hampir putus asa, resah gelisah dengan masalah yang dirasakan besar yang kita ada, secara tiba-tiba Tuhan  datangkan orang yang masalahnya lebih besar dan susah daripada kita sebagai peringatan.

Sudah banyak kali sebenarnya Allah beri peringatan seperti ini. Dan di saat itu juga aku menjadi lebih redha.

No comments: